KUALA LUMPUR – Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Chile yang berkuat kuasa awal tahun depan akan menyediakan satu lagi peluang bagi  kereta Proton untuk memasuki semula pasaran Chile, kata seorang pegawai kanan kerajaan negara tersebut.

Naib Pengarah Antarabangsa (Biro Penggalakan Eksport) Chile, Carlos Honorato Comandari percaya kenderaan Proton akan memasuki semula pasaran negara Amerika Latin itu selepas perjanjian tersebut berkuat kuasa.

"Kami mempunyai (kereta Proton) beberapa tahun lepas. Kemudiannya ia tidak lagi berada dalam pasaran. Saya percaya dengan FTA, kereta-kereta itu akan kembali semula (ke pasaran kami). Ekonomi kami terbuka luas (menerima kereta-kereta itu)," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.

Beliau berkata tiada jenama kenderaan buatan China atau Korea dalam industr automotif Chile sebelum negaranya memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan kedua-dua negara tersebut.

"Tetapi selepas kami memeterai FTA dengan China dan Korea, kami kini ada 12 jenama China dalam industri kereta kami. Kami juga ada jenama Korea. Mengapa tidak kereta Malaysia?.

"Industri automotif kami terbuka dan kompetitif. Saya yakin kedua-dua Korea Selatan dan China sedang menunggu apa yang akan berlaku (selepas FTA Malaysia-Chile dikuatkuasakan)," katanya.

Comandari juga berkata terdapat potensi besar dalam industri pelancongan di Chile kerana sektor tersebut tidak dibangunkan sejak dekad lepas.

"Terdapat banyak peluang dalam sektor hotel dan perkhidmatan kerana kami mahu menggandakan kedatangan pelancong ke Chile dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.

Menurutnya, Chile juga menawarkan banyak peluang dalam sektor tenaga kerana negara itu perlu menggandakan kapasiti tenaganya menjelang 2018 daripada 10,000 megawatt ketika ini.

"Jika kami mahu menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 atau seawal 2018, syarikat kami memerlukan tenaga. Kami perlu menggandakan kapasiti tenaga kami dan untuk itu kami perlu mempunyai pelabur.

"Mereka boleh menggunakan sama ada air atau angin sebagai sumber tenaga
mereka," katanya.

Beliau berkata Chile memerlukan tenaga bersih dan boleh diperbaharui, satu lagi bahagian yang boleh diteroka oleh pelabur Malaysia, katanya.

Sumber: Bernama