Tolong Klik Iklan Ni

Rabu, 5 Oktober 2016

Tersadai Dihempas Omar

Title: Tersadai Dihempas Ombak
Medium: Watercolor on Artocampap 300gsm
Size: A3
Note: Studio artwork
Duration: 6.30pm - 11.56pm
Date: 25.8.2016
SOLD

Sabtu, 17 September 2016

Kupasan Nyoteng Di Pulau Bidong

BERKARYA DAN DOKUMENTASI SENI VISUAL PULAU BIDONG

Persatuan Pelukis Terengganu dalam kembara seni visual di Pulau Bidong bertarikh (9 September 2016 hingga 11 September 2016) membuktikan suatu perjuangan ke arah memeriahkan lagi kegiatan seni. Ramai yang mengetahui sejarah Pulau Bidong sinonim dengan kisah perlindungan sementara ‘orang hanyut’ daripada Vietnam. Sejarah 70-an tersebut dikembalikan nostalgianya melalui karya seni lukis. Sudut tertentu dijadikan bahan dokumentasi dalam imej visual yang tersendiri dan boleh dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

Dua hal yang menarik menjadi perbincangan perihal kenapakah penggiat seni lukis Terengganu ini menggunakan kesempatan 'Program 1Mcat Nyoteng' di Pulau Bidong selama tiga hari dua malam ini? Pertama atas faktor minat dan kedua kembara seni. Saya lebih menjurus ke arah kembara seni yang tidak banyak diketahui oleh khalayak luar. Untuk apa dan kenapakah seniman mengisi peluang menyempurnakan kembara seni?

Kembara seni suatu proses panjang yang berterusan. Rata-rata ditunjukkan oleh penggiat seni apabila hasil karya itu dapat direalisasikan. Menurut seorang sahabat menceritakan perjalanan hidup sebagai pengkarya diisi dengan kembara seni. Ianya proses mencari ilham, keluar mencari sumber idea, mengamati sesuatu kejadian, menajamkan kembali pengamatan visual dan berfikir
di sebalik alam semula jadi untuk menghasilkan sebuah karya. Kembara seni itu suatu proses pembelajaran berkait dengan sumber alam.

Pulau Bidong mendedahkan banyak subjek alam khasnya untuk insan seni. Mengalir di dalamnya kisah untuk didokumentasikan. Program Nyoteng adalah kembara kembali pada tema-tema yang barangkali tenggelam dalam dunia utopia. Pengkarya menarik tangan masing-masing jangan dibiarkan tenggelam dalam dunia utopia. Dunia utopia tidak ada dunia realiti kerana dunia utopia mewah dengan idea dan konsep yang dianggap muluk-muluk. Kembalinya ke alam semula jadi membawa suatu keajaiban dalam keadaan ingin terdedah dengan alam dan menghayati keindahan alam melalui melukis, melakar yang sendiri memahaminya.

Sejarah Mei 1975, bot pendatang seramai 47 orang pelarian Vietnam mendarat di Pulau Bidong itu menjadi dokumentasi. Hingga Jun 1979 seramai 40,000 orang hanyut berada di pulau yang kini menjadi produk pelancongan terkenal di Terengganu.

Detik yang dirakam melalui pancaindera masing-masing akan menjanjikan suatu realiti dalam bentuk artwork dan akan dipamerkan oleh pihak Muzium Negeri Terengganu.
Ketajaman pancaindera insan seni mungkin berbeza-beza. Penghayatan mendalam menjiwai diri di sebalik kelaparan, dibunuh oleh lanun, perempuan di rogol, kuasa komunis, bot kecil yang bocor, terhimpit, mengandung janin, sengsara dan nasib tidak menentu memercikkan warna yang pelbagai.

Proses berkarya berkait dengan fizikal alam sebagai sumber ilham adalah kerja halus berseni yang perlu dinilai. Hasilnya boleh berkomunikasi dengan semua orang. Cuma cabarannya lebih hebat, bagaimana di kalangan masyarakat akan mengatakan mereka melihat seni dalam rangka mencari apa-apa yang mereka tidak tahu. Mereka melihat kesengsaraan manusia di Pulau Bidong di sebalik sumber alam.

Hasil seni itu banyak yang boleh dipelajari tentang apa-apa yang sedang dan akan berlaku. Di sebalik imej, warna, garis, bayang dan cahaya suatu suasana keperihatinan pada orang lain. Kejujuran, nilai peribadi, sikap, kesombongan manusia, kezaliman dan keadilan akan dirakam secara berseni. Segalanya ini mencetuskan suatu aprisiasi perjuangan dalam sejarah seni lukis. Umpama berlakunya suatu pemikiran di sebalik karya Monet ‘Impression, Sunrise’ tahun 1872 mencetus gerakan Impresionisme.

Dalam istilah Paul Klee, membuat sesuatu di sebalik yang dilihat itu kelihatan menon jolkan kekuatannya. Tugasan dalam melukis itu sebagai usaha memperlihatkan kekuatan bertali erat dengan sensasi.

Pulau Bidong membawa cabaran kepada penggiat seni. Cabaran untuk merakamkan seni visual yang dikaitkan dengan masa lalu. Kejadian yang tidak terasing, menagih simpati hingga apabila merenung pohon kelapa dan angin bertiup menyaksikan ada suara jeritan. Batu dan daun kering yang dipungut itu membawa kesan derita di atas kanvas putih.

Suatu yang tidak kelihatan menjadi kelihatan. Hanya dengan warna, imej, mainan cahaya dan suasana (mood) mengajak audien berfikir ada hati seperti merasai. Imej visual itu menimbulkan dokumentasi nilai-nilai sejarah dan kemanusiaan sejagat.

Koleksi karya-karya ini mungkin menjadi dokumentasi pelbagai. Sumber komersial dalam bentuk poskad, kalender, setem pos kenang-kenangan, bahan ilustrasi berteks, ada catatan sajak dan seumpamanya. Apa-apa pun idea yang dipunggah itu merujuk pada catatan awal. Selain melihat sendiri dan memijak kaki di Pulau Bidong, rujukan melalui rencana akhbar, buku, laman blog memperkayakan lagi persepsi visual. Catatan puisi Marzuki Ali dalam buku ‘Desir Angin Pantai Timur’ masih ada penyu yang sudi singgah, jenis pokok yang jarang ditemui, obor-obor yang banyak, hilang keaslian alam apabila ramai manusia hanyut merosakkannya. Banyak nyawa diselamatkan, benih kedamaian bercambah biak di sebalik batu terukir, tangki air, perkuburan dan monumen. Tinggalan rumah usang, lorong denai, tapak gereja dan tokong yang segalanya itu terakam kembali dari perspektif yang tidak terduga. Akhirnya terhasil suatu organisation yang diterapkan dalam bahasa visual merujuk pada suatu naratif yang berlatarkan Pulau Bidong, meletakkan elemen ‘story telling’ dan ‘story making’.

Kupasan oleh: Mohamed Noor Bin Othman

Isnin, 12 September 2016

Nyoteng Di Pulau Bidong

Program 1Mcat Nyoteng Di Pulau Bidong PeTer

9 Sept 2016 - Hari Pertama

Kami berkumpul dimeetpoint 1 diperkarangan Muzium Negeri Terengganu untuk mengumpul dan memunggah barang² keperluan kedalam boot kereta. Setelah selesai kami mula bertolak tepat jam 12.00pm menuju kemeetpoint ke 2 untuk berhenti solat Jumaat di Masjid Merang. Selesai solat Jumaat kami makan tengahari untuk mengalas perut terlebih dahulu.

Tepat 2.30 setelah kekenyangan kami bergerak pula menuju ke Jeti Merang untuk kerja² memunggah barang keperluan yang dibawa kedalam bot laju. Lebih kurang jam 3.00 bot laju mula bergerak menuju kedestinasi yang mengambil masa lebih kurang 30 minit.

Setelah tiba di Jeti Pulau Bidong kami terus bergegas menuju ke penginapan kami iaitu sebuah surau yang dapat menampung kami untuk beristirehat dan tidur disitu. Selain surau, juga terdapat kemudahan tandas dan bilik mandi yang tak berapa jauh dari surau tersebut dan juga terdapat dua buah wakaf.

Lebih sejam setengah setelah ketibaan kami, menyusur pula pasukan sokongan teknikal iaitu kakitangan Muzium Negeri Terengganu yang membawa peralatan seperti generator untuk lampu dan pengepam air dan beberapa anak pokok kelapa untuk sesi penanaman pokok sebagai tanda perasmian program tersebut keesokkannya. Antara aktiviti hari pertama selepas solat asar berjemaah adalah memancing dan sketch sebelum kami balik ketempat penginapan. Selesai solat maghrib sesi memasak untuk makan malam dilangsungkan. Setelah isyak kami terus makan beramai² dengan hidangan lauk pauk seperti ayam masak merah+ikan tongkol dan nasi putih. Setelah kekenyangan kami berehat seketika sebelum aktiviti sembang seni secara santai.

10 Sept 2016 - Hari Kedua

Menyediakan sarapan pagi seperti ikan bakar dan bbq untuk persediaan menyambut kedatangan Pengarah Muzium Negeri, pegawai kanan dan lain² yang dijangka tiba jam 10.00am.

Lebih kurang 10.00am, mereka tersebut tiba dan disambut oleh kami dan seterusnya Pengarah Muzium Negeri Tuan Haji Yusof Abdullah memulakan sesi penerangan dan imbasan sejarah pendudukan pelarian Vietnam di Pulau Bidong sehingga ditutup dan diambilalih oleh Muzium Negeri Terengganu. Usai sesi tersebut, sesi menanam beberapa anak pokok kelapa sebagai tanda perasmian program 1Mcat Nyoteng Di Pulau Bidong dirasmikan oleh Tuan Haji Yusof Abdullah. PeTer turut menanam satu anak pokok kelapa dalam sesi tersebut.

Selesai bergambar beramai², kami dibawa untuk melihat kesan² tinggalan pendudukan pelarian Vietnam yang masih ada dan dijaga rapi oleh pihak Muzium Negeri Terengganu sebagai satu bahan sejarah yang mampu menggamit kehadiran pelancung² datang melihat sendiri kesan² peninggalan tersebut. Pihak Muzium sendiri kini dalam usaha menambah lagi pasarana untuk kemudahan pelancung.

Setelah selesai menjejaki tapak² tinggalan tersebut kami kembali untuk nakan tengahari. Seterusnya kami pelukis² yang terlibat meneruskan sesi pleinair ditapak² yang terpilih untuk diabadikan atas catan. Yang tak siap sepenuh pada siangnya ada yang menyambung melukis pada malamnya disamping diselangi sesi sembang seni santai. Beberapa artwork dapat disiapkan oleh pelukis² yang terlibat dengan program tersebut yang hasil dari artwork tersebut akan dipamerkan oleh pihak Muzium Negeri Terengganu yang akan diberitahu kelak. Selain artwork hasilan ketika pleinair, artwork studio berkenaan tinggalan sejarah Pulau Bidong yang akan dilukis dirumah masing² oleh pelukis² yang terlibat.

11 Sept 2016.
Hari terakhir program. Selepas bersarapan ala kadar, kami bersiap sedia di jeti menunggu bot untuk pulang. Lebih kurang jam 10.10am bot tiba di jeti Pulau Bidong untuk membawa kami pulang.

Atas ehsan pemandu bot iaitu Pak Rashid, kami dibawa kesatu lokasi untuk memancing ikan kerisi. Aktiviti memancing selesai jam 1.00pm dengan beberapa ekor kerisi. Kami sampai di Jeti Merang lebih kurang jam 1.30pm. Setelah selesai memunggah barang² kedalam boot kereta kami singgah makan tengahari terlebih dahulu sebelum kembali kerumah masing².

Dengan Kerjasama:
#Balai Seni Visual Negara
#Terengganu State Muzium

Jumaat, 9 September 2016

Nyoteng Di Pulau Bidong

Pulau Bidong merupakan sebuah pulau yang dimiliki oleh Terengganu walaupun Pulau ini sudah tidak berpenghuni namun pada suatu masa dahulu sekitar awal 70an pulau ini pernah menjadi kawasan penempatan sementara bagi pelarian Vietnam kesan daripada perang saudara disana. Pulau Bidong telah mengangkat nama Malaysia di mata dunia sebagai sebuah negara yang menghargai kemanusiaan sejagat. Walau bagaimanapun Pulau ini telah menyaksikan kerasukan para pendatang ini membumi hangus dan menggondolkan kawasan tersebut demi memenuhi keperluan dan kehendak mereka untuk hidup. Para Vietnam pelarian ini telah lari dari kampung halaman mereka tanpa hala tuju dan akhirnya tersadai di pulau tersebut. Kerajaan Malaysia pada waktu itu menggelarkan mereka sebagai “Orang Hanyut Vietnam” (OHV).

Oleh itu, untuk mendekati dan memahami  sejarah Pulau Bidong, beberapa pelukis Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer) akan ke Pulau Bidong selama 3 hari 2 malam untuk merakamkan kesan kesan sejarah peninggalan OHV tersebut dari sudut pandangan pelukis pelukis yang terlibat dalam program 1MCAT NYOTENG DI PULAU BIDONG yang akan dipindahkan pada catan masing masing yang mana kemudiannya hasil lakaran itu nanti akan dipamerkan pada satu pameran dengan kerjasama Muzium Negeri Terengganu kelak.

Isnin, 5 September 2016

Ulasan Seni Cat Air "Berehat"

Kelebihan perahu kecil di latar depan dan bot besar di latar tengah membawa jurang kehidupan. Relung kehidupan diusik oleh pelukis untuk mengimbas kembali rakaman kehidupan nelayan.

Catan ini memperlihatkan keupayaan pelukis menimbulkan kesan metafora dengan member penekanan kepada objek visual. Imej visual sebagai bahasa visual membawa perlambangan tertentu. Perahu kecil, bot besar, pemancang bersilang, bot besar senget tersadai, ruang langit yang dominan dalam bingkai vertikal, perkampungan yang sayup berkabus dan bendera dua warna untuk merangsang audien berfikir bukan 'berehat'.

Soalan kenapa dan mengapa bermain dalam pemikiran audien. Umpamanya kenapakah hanya sebuah perahu kecil diletakkan pada latar depan berbanding bot-bot besar? Kenapakah sebuah bot besar disengetkan seolah terdampar? Kenapakah keluasan ruang langit itu dilebihkan vertikalnya? Kenapakah dua bendera berbeza warna menghala ke perkampungan nelayan?

Secara berani, pelukis mengundang kisah yang kita tahu. Tetapi apa-apa yang kita tahu itu berbeza pandangan. Sukar mencari faktor yang sama dalam semua karya kerana itu kesempatan menatap lukisan 'Berehat' oleh pelukis hebat Kazz Kadri bukan untuk melihat sudut landskapnya yang lazim kita lihat. Sebaliknya yang direnung dan diamati oleh mata hati dan mata fikir ialah kandungan makna yang tersirat di sebalik landskap tersebut. Syabas dan tahniah.

Seperkara lagi yang dapat diamati ialah kebijaksanaan pelukis mengolah perspektif, ruang komposisi dan kesan kedalaman. Titik kesesuaian komposisi membawa jarak antara mata dengan objek utama. Perspektif dan kesan kedalaman kehadirannya dikesani dalam ruang atmosphera antara latar depan dengan latar belakang. Antara ruang atmosphera  langit dengan bumi menawarkan  suhu warna yang dimenarik.

Pelukis merancang sudut yang betul sama ada di tengah, di tepi atau jauh ke garisan  horizontal hingga kadar kekuatan warna itu boleh mengubah suasana (mood) landskap.

Sebahagian  besar ruang dalam karya ini (terutama langit) diolah  melalui teknik basah atas basah. Hingga kekuatan kecairannya terjadi secara spontan membawa kesan antara ungu dan biru bersatu hati.

Merujuk "The Artist's Problem Solver suntingan oleh Sally Bulgin (2002) antara ungu dengan biru adalah suatu kesukaran untuk menyebatikannya, jika pelukis gagal mewarnakan langit di tempat lokasi maka lebih baik digantikan dengan melihat fotografi. Kesan kesukaran tersebut dapat dialami oleh pelukis sendiri apabila terjadinya :
-  Warna yang pecah dan terpisah jauh kadar ton antara dua warna.
-  Ilusi cahaya gagal ditonjolkan.
-  Kekuatan ton dua warna itu gagal dilihat dari sudut kelembutannya meresap ke dalam antara satu
   dengan lain.
-  Kesesuaian jenis berus, jenis kertas, kadar kandungan air, tekanan dan kelajuan menyapu
   warna.

Begitulah berhati-hatinya pelukis catan air berdepan dengan kesukaran mewarnakan langit. Biru dan ungu secara halus dan lembut bersebati antara imej kampung nelayan yang sayup berkabus. Terkesan warna lembab basah itu menyerlah pada langit putih dan beberapa kesebatian di penjuru atas dan kiri.

Dalam kualiti panas di bawah dan sejuk di atas, pelukis memainkan mood audien untuk memerhati dan berfikir. Dari lukisan ini dapat dikesani pelukis melakukan kajian dan menuangkan pengalamannya melalui :
-  suatu penemuan mencari kualiti suhu warna panas dan sejuk antara warna langit dan tanah.
-  menekankan kekuatan cahaya yang dari ruang langit.
-  memeberi fokus pada pekadaran objek.

Lalu terjadi perbezaan kelainan yang menarik dan unik hingga membawa perbezaan yang biasa dan luar biasa. Dengan ini pelukis menzahirkan kepelbagaian yang mengundang minat khalayak untuk memerhati dan berfikir.

Ulasan Seni oleh: Tuan Mohamed Nor Bin Othman

Isnin, 8 Ogos 2016

Pasor Seni

Pantai Batu Burok yang sedia terkenal dengan keindahan pantai yang sering menggamik pengunjung dari dalam mahupun luar untuk datang berkunjung beriadah dan beristirehat bersama keluarga disamping menikmati makanan minuman yang dijual digerai-gerai yang berhampiran.

Setelah mendapat sambutan dari orang ramai yang datang berkunjung diprogram pertama Pasor Seni yang berlangsung pada Jumaat 5 Ogos 2016 di Pantai Batu Burok, sekali lagi beberapa orang pelukis PeTer (Persatuan Pelukis Terengganu akan mengadakan program tersebut.

Pasor Seni (Pasar > pasor dalam sebutan loghat Terengganu) merupakan satu program santai iaitu bertujuan memperkenalkan dan seterusnya untuk jualan merupakan karya-karya dari pelukis Terengganu sendiri. Selain jualan lukisan cat air dan batik painting, turut diadakan demonstrasi melukis cat air dan potret dan juga karikatur yang mana pengunjung-pengunjung yang datang boleh mendapatkannya dengan harga berpatutan.

Dengan program tersebut secara terbuka dan santai diharapkan mampu mencelikkan senilukis dipandangan mata pengunjung.

Jangan lupa tandakan tarikh, waktu dan lokasi Pasor Seni didiari anda.

Rabu, 6 Julai 2016

Salam Aidilfitri 1437H

Assalamualaikum.

Puasa dibulan Ramadhan dipenghujungnya, maka tibalah gema takbir Syawal menandakan kejayaan kita menempuhi sebulan berlapar dan menahan dahaga selain mengawal nafsu nafsi.

Kad raya online ini buat pengganti diri memohon ribuan kemaafan andainya ada silap dan khilaf samada dari segi tutur kata selama bersua didaratan, ada keseliratan susunan ayat atau terkasar bahasa diabjad yang mungkin hati terguris tanpa disedari.

SALAM AIDILFITRI
MAAF ZAHIR BATIN
DENGAN INGATAN TULUS IKHLAS
1 SYAWAL 1437H
SENI UNTUK SEMUA

Jumaat, 8 April 2016

Perkembangan Persatuan Pelukis di Terengganu

Gambar ini diambil pada tahun 1989 (sila rujuk gambar) merupakan satu aktiviti melukis outdoor oleh pelukis2 Angkatan Pelukis Terengganu (APT) yang diadakan setiap hari minggu iaitu setiap petang Jumaat di Pantai Batu Burok diperkarangan bangunan Pengkalan Budaya bermula jam 5.00 hingga 7.00 petang. Aktiviti tersebut meraih minat orangramai yang datang berkunjung di dipantai yang sentiasa menjadi tumpuan ramai setiap hari minggu.

Pelukis2 Terengganu sendiri pada ketika aktiviti itu berlangsung mampu mendekatkan lagi seni lukis kepada orangramai yang berminat melihat dari dekat bagaimana seseorang pelukis menghasilkan karya masing2 sama melukis potret, permandangan dan melihat karya.  siap yang turut dipamerkan pada masa itu.

Pada tahun itu APT juga turut berjaya mengadakan pameran senilukis yang julungkalinya telah diadakan didewan Pengkalan Budaya sempena Pesta Pantai dan tahun2 seterus 2 kali pameran senilukis di Hotel Primula dan lain2  tempat lagi.

Antara pelukis2 yang terlibat pada masa itu adalah seperti Cikgu Idris Hashim Salleh sebagai Setiausaha APT, Cikgu Nazli Hamzah, Chang Fee Meng, M.Zain, Ahmad Nashidi, Cikgu Abdul Manan, Cikgu Sahabudin, Cikgu Tengku Afzan, Cikgu Sulaiman, Cikgu Azizah, saya sendiri dan dan ramai lagi pelukis2 yang tak sempat ditulis disini.

Dukacita pada tahun 1994 @ 1995 akhirnya APT telah terkubur meninggalkan lompong atau kekosongan senilukis di Terengganu untuk beberapa tahun lamanya sehinggalah tertubuhnya PERSATUAN PELUKIS TERENGGANU (PeTer) pada akhir 2013 dan didaftarkan dengan ROS secara rasmi pada 7 Mei 2014 yang mana beberapa pelukis dari zaman APT turut melibatkan diri untuk menggerakkan aktiviti2 PeTer dan dibantu beberapa pelukis2 muda untuk sama2 meneruskan kesimbungan senilukis di Terengganu.

Untuk julungkali PeTer terlibat dengan pameran pertama iaitu Pameran DUHAI TANAH AIR di Muzium Negeri Terengganu kelolaan Muzium Negeri, MCAT, Balai Seni  Visual Negara (BSVN) dan pada tahun 2014. Pameran tersebut turut digabungkan dengan nukilan sajak bertema kemerdekaan dan kecintaan kepada tanahair seiring dengan beberapa lukisan yang dipamerkan oleh penulis2 dari Persatuan Penulis Terengganu (PELITA)

Selain itu PeTer juga turut dijemput mengadakan pameran senilukis di Muzium Melaka dan Galeri Shah Alam dan juga di Balai Seni Visual Negara. Pada akhir November hingga Disember 2015 atas kelolaan PeTer sendiri, satu pameran senilukis iaitu pameran KITAKITA telah diadakan dengan mempamerkan karya2 terbaru pelukis2 PeTer dilobi Primula Beach Hotel selama 2 minggu. Selepas itu pameran KITAKITA 2.0 disambung pula di lobi Park Inn Hotel sehingga penghujung Disember 2015. Dalam pada itu juga PeTer turut dijemput mengadakan mini pameran di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong sempena perlumbaan kapal layar Monsoon Cup.

Pelukis2 PeTer juga saban minggu turut mengadakan beberapa aktiviti outdoor atau lebih dikenali pleinair dilokasi2 tertentu seperti pleinair di Pulau Duyong, Pulau Ketam, Pasar Kedai Payang, Laman Rumah Haji Su, Taman Tamadun Islam (Masjid Kristal, Jeti Penambang Seberang Takir, Art Market diperkarangan Muzium Negeri, Pulau Kekabu dan program 20 Pelukis Melukis Terbuka 2016 yang diadakan di perkarangan Muzium Negeri yang mendapat sambutan dari orangramai dan liputan dari akhbar Sinar Harian dan Berita Harian.

Dengan pelbagai aktiviti yang telah dijalankan tersebut adalah diharapkan mampu menyerlahkan atau membangkitkan kembali kegemilangan senilukis dan juga bakat2 pelukis2 sama baru atau yang lama dapat diperkembangkan lagi di Terengganu khasnya dan di Malaysia amnya.

Penekanan: PeTer bukanlah kesimbungan APT tetapi ianya ditubuhkan sebagai suatu kaedah untuk menghimpunkan pelukis2 dibawah satu bumbung demi kelangsungan kumpulan bakat2 pelukis untuk terus menghidupkan semangat senilukis di Terengganu

Sekian.

Penulis: Kazz Kadri
(Bendahari & Pendaftar Keahlian)

Isnin, 28 Mac 2016

20 Pelukis Melukis Terbuka 2016

Persatuan Pelukis Terengganu (PeTer) telah mengadakan satu program iaitu 20 Pelukis Melukis Terbuka 2016 diperkarangan Lembaga Muzium Negeri Terengganu baru baru ini yang mendapat sambutan menggalakkan dari pelukis pelukis PeTer dan orangramai yang datang berkunjung untuk melihat sendiri dari dekat bagaimana sesuatu karya dihasilkan oleh mereka.

Dalam program tersebut turut disertai oleh 3 pelukis jemputan dari Kelantan iaitj saudara pelukis terkenal Mazuki Muhammad dan dua rakannya Tho Man dan juga Sham Cni.

Program itu juga telah mendapat liputan langsung dari dua buah akhbar Sinar Harian dan juga Berita Harian.

Semoga program yang seumpama itu akan lebih membuka mata peminat peminat senilukis di Terengganu untuk lebih menyemarakkan lagi senilukis.

Rabu, 16 Mac 2016

Aktiviti PeTer

Satu lagi program pleinair yang alan diadakan pada 19 Mac 2016. Kepada peminat senilukis di Terengganu bolehlah berkunjung untuk melihat dari dekat 20 pelukis melukis secara terbuka di perkarangan Muzium Negeri Terengganu.

Turut dipamerkan secara santai beberapa buah karya dari mereka dan juga jualan karya dengan pelbagai medium samada cat air, cat minyak, cat akrilik, lukis potret dan lain lain lagi.

Jom pakat hungga blake deh! ☺

Sabtu, 23 Januari 2016

Pleinair Masjid Kristal

Aktiviti pleinair @ outdoor untuk sekian kalinya berlangsung lagi pada siang hari Sabtu 23 Januari 2016. Kali ini subjek Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man menjadi pilihan kami terdiri daripada 4 pelukis yang terlibat yang bermula pada jam 11.00 pagi sehimgga 3.00 petang.




Sedang tekun melukis Masjid Kristal



Tepat jam 3.00 petang semua karya berjaya disiapkan



Khamis, 21 Januari 2016

Lukisan | My Art


Bermula dari sekarang aku akan menguploadkan beberapa buah karya-karya lukisan sendiri yang dilukis sejak beberapa bulan yang lalu.

TAJUK: PASAR LAMA CHABANG TIGA, K.TERENGGANU
MEDIUM: PEN & CAT AIR ATAS WC PAPER
SAIZ: A3
HARGA: RM300 (TANPA FRAME)


TAJUK: PASAR KEDAI PAYANG, K.TERENGGANU
MEDIUM: PEN & CAT AIR ATAS WC PAPER
SAIZ: A3
HARGA: RM300 (TANPA FRAME)

SILA WHATSAP KE NO 013915764 JIKA BERMINAT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...