Pertandingan Ritma Johor ini terbahagi kepada 3 kategori karya siap iaitu kategori catan atau cetakan, arca dan batik. Setiap kategori telah disediakan dengan hadiah lumayan, namun penyertaannya kurang memberangsangkan. Itulah yang dikatakan seni - ia tetap menggamitkan kerinduan untuk berseni. Pada pandangan saya, Ritma Johor mengundang pelbagai interpratasi, dari kerancakan pembangunan kepada hiruk pikuk kehidupan seharian. Suatu keluasan latar yang boleh diterjemahkan sebagai ilham ciptaan yang mewarnai dunia kita. Ritma juga adalah warna-warna kehidupan dan salur-galur budaya semesta.
Hadiah Major bagi ketegori dengan karya bertajuk 'Stepping Forward' oleh Rosli Zakaria, menghidangkan kata-kata azimat Dato' Onn sebagai pembakar semangat untuk masyarakat Melayu melakukan perubahan. 'Melawan Malayan Union itu perkara kecil, dan yang berat ialah melawan Melayu itu sendiri. Melawan Melayu itu ialah melawan perangai, tabiat dan kelakuan Melayu sendiri'. Bentuk figura yang berpakaian baju kurung Johor, menghulur kaki melangkah keluar penuh dengan persedian kedalaman ilmu, ini disimbolkan dengan jaluran cip yang diukir. Bentuk separa globa satu lambang dunia yang kian mencabar yang harus diterokai demi kepentingan bangsa Melayu itu sendiri, sebagai irama tanpa noktah. Manakala Hadiah Minor, karya bertajuk 'Warrior Of Si Bongkok' oleh Mohd Ali Azraie b. Bebit, dengan menggunakan sebuah gitar yang diolah sebagai gambaran Si Bongkok seorang pahlawan Johor dan pejuang Melayu yang terbilang. Metafora lirik Si Bongkok yang tersirat dalam Tanjung Puteri, sekaligus mengajak genarasi muda menghayati sejarah kepahlawanannya.
Kategori catan atau cetakan dengan karya bertajuk 'Catan Buat Cucu' oleh Mohamed Haji Hassan telah mengungguli Hadiah Major bagi kategori tersebut memaparkan satu diari sedih mengenai sebatang sungai. Sungai Muar diibaratkan selembar daun kering yang melata dan menunggu kehancurannya. Karya ini direka begitu puitis dari gambaran suatu kemusnahan dengan 'sharp shoot' yang pelbagai seperti airnya yang kotor mengalir dengan penuh kelesuan, namun masih terdapat kehidupan dan harapan yang penuh kesabaran seperti yang ditunggukan oleh seekor pekaka. Penantian terhadap khabar gembira dari satu daerah yang tak kunjung tiba. Hadiah Minor karya Fahmi Taib bertajuk 'Our Heritage' mebawa suatu inskripsi sebuah peta. Diolah penuh dengan jalinan-jalinan natural alam semulajadi dengan bentuk rupabuminya yang membentuk simulara seekor kuda kepang lambang sinonim dengan negeri itu - iaitu Kerajaan Johor Lama. Itulah 'permainan tradisional (kuda kepang) yang sudah sebati dengan diri saya', ini menunjukkan penghayat kelangsungan tradisinya.
Hadiah Major bagi kategori Batik dengan karya bertajuk 'Spice Of Johor' oleh Nazariah Mohamed Nordin menunjukkan suatu kemeriahan dan keceriaan barisan kuda kepang yang menelusuri kanan dan kiri ruang menuju keatas. Tumbuh-tumbuhan dan bunga-bungaan mewarnai setiap sudut gah menghiasi 'Johor' yang tercinta. Dengan hiasan labuci bergemerlapan bersama tarian ritma gemalai dipersada kejayaan. Bagi Hadiah Minor, Kizz Kazz dengan karya 'Ritma Johor (Ghazal dan Kuda Kepang)' telah mengenengahkan tiga motif utama menghiasi ruang iaitu seekor kuda, tumbuh-tumbuhan dan bentuk titisan air. Ibarat angin kencang yang sedang bertiup membawa harapan kepada lanskap perubahan yang dibawa oleh Kuda Sembrani, ditabur dengan sulaman benih-benih yang menjanjikan - tumbuhan berpunca, punca penuh rahsia.
Ulasan panel hakim: Prof Madya Ponirin Amin, Universiti Teknologi Mara
Ulasan panel hakim lain: Prof Madya Hasnul Jamal Saidon, Muzium & Galeri Tuanku Fauziah dan Encik Tan Sei Hon, Balai Seni Lukis Negara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan