Tolong Klik Iklan Ni

Selasa, 19 Jun 2012

Terengganu Darul Iman (Semasa & Sejarah)


Kuala Terengganu ialah ibu negeri dan juga Bandar Diraja negeri Terengganu Darul Iman. Kuala Terengganu telah diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air dan menjadi bandaraya pada 1 Januari 2008. Bandar raya ini mempunyai jumlah penduduk seramai 357,256 pada tahun 2007. Namanya bererti muara Sungai Terengganu. Kuala Terengganu merupakan antara bandar pelancongan popular dan hotelnya mencatatkan kadar penginapan yang tinggi sepanjang tahun.
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merupakan sebuah pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab mentadbir seluruh Kuala Terengganu dan sekitarnya.
Sejarah;
Di pesisir Kuala Terengganu, terdapat sederet rumah kedai yang dikenali sebagai Kampung Cina (China Town) yang telah wujud semenjak sekian lama. Ia merupakan perkampungan pedagang Cina yang berdagang antara China dan Semenanjung Tanah Melayu yang bermula semenjak awal abad ke 15.
Kewujudan Kampung Cina adalah bukti wujudnya hubungan perdagangan erat antara kerajaan China dan Kerajaan Terengganu. Pelayar terkenal, Abdullah Munsyi yang singgah ke Kuala Terengganu pada abad ke-19 mencatatkan, kaum Cina pada zaman tersebut berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Melayu Terengganu.
Kuala Terengganu adalah satu bandar raya perdagangan maritim yang penting pada zaman purba. Rekod awal menyatakan Kuala Terengganu pernah memiliki hubungan perdagangan antarabangsa dengan China. Rekod menyatakan Kuala Terengganu adalah antara kota persinggahan utusan kerajaan Ming China, Laksamana  Zheng He diantara tahun 1405 dan 1433.
Kuala Terengganu berkembang menjadi bandar perdagangan yang penting antara kedua negara. Bagaimanapun, selepas Empayar Melaka menakluk bandar ini, pengaruhnya sebagai pelabuhan terutama di kawasan Asia Tenggara merosot kerana kebanyakan pedagang lebih gemar berhenti di Melaka, yang merupakan pusat perdagangan antara China, India dan Asia Tenggara.
Catatan Bertulis;
Kuala Terengganu dipercayai telah dihuni semenjak beribu ribu tahun lagi. Catatan cendekiawan China seperti ’Ling-wai-Tai-ta’ karangan Cao-Cu-Fei tahun 1178, menyebut ’Teng-ya-nu’ dan buku ’Cu-fan-Cih’ karangan Cao-Ju-Kua tahun 1226 menyebut Teng-ya-nung’. Kedua dua nama tersebut merujuk kepada nama Tengganu yang dikatakan jajahan takluk Kerajaan Seri Wijaya (San-fo-Cih) pada kurun ke-2.
Selain itu, ahli atronomi terkenal Greek, Ptolemy ada mencatatkan kewujudan dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Pelabuhan itu ialah Primoula dan Kole. Primoula dipercayai di Kuala Terengganu dan Kole di Kemaman. Catatan lain menunjukkan wujudnya kota Foloan, di Kuala Berang, di hulu Sungai Terengganu. yang dipercayai menjadi kota satelit pada Kuala Terengganu.
Catatan penulis China pada masa Dinasti Sui ada juga menyebut tentang sebuah Negeri yang dinamai ’ Tan-Tan’ yang menghantar Ufti ke China. Paul Wheatley membuat kesimpulan negeri yang dimaksudkan di dalam catatan China itu mungkin berpusat di Kuala Besut atau Kuala Terengganu.
Catatan tersebut juga menyebut bahawa Kuala Terengganu dan Kuala Berang merupakan pusat perdagangan maritim utama pada abad kedua belas. Sungai Terengganu merupakan laluan utama dan penting bagi pedagang-pedagang asing pada zaman itu. Perdagangan barangan seperti kayu gaharu, kayu laka, gading bermutu tinggi di jadikan pertukaran dengan emas dan perak.
Pengembara China, ‘ Chao Ju Kua ’ dalam catatan yang ditulisnya pada tahun 1225, ada menyebu ‘ Teng-Ya-Nong ‘ atau Kuala Terengganu sebagai sebuah pelabuhan perdagangan yang penting di persisiran pantai timur Tanah Melayu.
Bukti lain kewujudan sebuah kerajaan purba di Terengganu, ialah seketul batu granit berbentuk empat segi yang berukir tulisan dengan ukuran 84 cm tinggi, 53 cm lebar bahagian atas dan 27 cm lebar di bahagian bawah dan berat batu tersebut 215 kg yang dikenali sebagai Batu Bersurat. Batu tersebut bertulisan Jawi dan menggunakan Bahasa Melayu Kuno. Penemuan itu juga telah menjadi bahan sejarah yang tidak ternilai dan merupakan satu-satunya bukti yang menunjukkan kemasukan agama Islam ke Tanah Melayu pada abad keempat belas lagi.
Sejarah Terengganu moden bermula apabila Tun Zainal Abidin dari keturunan diRaja Johor ditabalkan memerintah Terengganu pada 1708. Baginda memakai gelaran Sultan Zainal Abidin 1.
Ekonomi;
Bandar Kuala Terengganu dikatakan bermula sebagai pusat perniagaan dan pengumpulan hasil semenjak zaman berzaman. Penduduk di sepanjang Sungai Terengganu membawa hasil pertanian dan hutan melalui jalan sungai, manakala para nelayan menukarkan hasil tangkapan mereka. Kawasan perniagaan utama di Kuala Terengganu terletak di Jalan Kampung Cina, Jalan Banggol dan Tanjong.
Pada masa kini, Kuala Terengganu berubah menjadi sebuah bandar raya moden yang masih mengekal ciri ciri tradisional. Kepesatan Kuala Terengganu, yang mempunyai keluasan 60,528.1 hektar, dapat dilihat daripada segi pembangunan infrastruktur antaranya Lapangan Terbang Sulatan Mahmud (LTSM), Kompleks Sukan Gong Badak, Kampus Universiti Darul Iman (UDM - sekarang ditukarkan kepada UNISZA), Kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Pelancungan;
Kuala Terengganu turut menekankan sektor pelancungan sebagai pemacu ekonomi. Antara tempat menarik termasuk Wisma Darul Iman, Kampung Cina, Pasar Payang, Istana, Muzium Negeri, Pulau Duyong dan Kompleks Kraf Noor Arfa (NACC)
Kuala Terengganu terkenal dengan kraf tangannya, terutama songket, batik (batik sarung/sutera) dan ukiran tembaga. Produk kraftangan Terengganu menjadi koleksi eksklusif di seluruh dunia.
Seterusnya, Kuala Terengganu juga terkenal dengan keunikan kesenian kebudayaan seperti tarian ulik mayang, tarian rodat, tarian saba, tarian balai, tarian gayung otar-otar, permainan gasing.
Penduduk Kuala Terengganu yang terkenal sebagai pelaut dan pelayar yang cekap memiliki kemahiran tinggi dalam membuat dan mengukir perayu nelayan, perahu kolek, setak, sekoci, jalur dan yang paling masyur ialah perahu payang. Lokasi pembuatan perahu masih kekal dari dahulu hinggalah sekarang termasuk dikampung Losong, Duyung, Telok Pasu dan Pulau Rusa.
Pantai dan Pulau-pulau yang berada didalam kawasan Kuala Terengganu seperti pulau Redang, Pulau Bidong, Pulau Duyung, pantai Batu Burok, pantai Telok Ketapang dan lain-lain lagi tempat menarik merupakan destinasi kunjungan dan pelancungan utama.
Kuala Terengganu kini semakin mendapat tempat di mata dunia di mana pelbagai kejohanan sukan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa diadakan di bandar Kuala Terengganu. Antaranya ialah Monsoon Cup, Sultan’s Cup Endurance Ride dan FEI World Endurance Championship 2008.
Catatan Sejarah Lain: Asal Usul Nama Negeri Terengganu;
Setakat ini terdapat cerita disebalik nama Terengganu yang dikaitkan dengan Terangnya ganu, Taring anu dan Terangan nu. Kisah asal Terengganu melibatkan penduduk luar Terengganu (Kelantan dan Pahang) dari juga dari penduduk Terengganu sendiri. 'Terangnya ganu' ini dikait dengan peristiwa beberapa orang pelajar dari Kelantan tiba dikuala apabila melihat pelangi dilangit. Mereka pun menyatakan, 'Terang sungguh ganu disini'. Bila   pulang ke Kelantan mereka menggelarkan 'Terang ganunya'.
Sementara itu 'Taring anu' dikatakan berasal dari cerita yang dikisah oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar (1839 - 1876). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan dari Pahang telah datang memburu dikawasan hulu. Apabila mereka tiba satu tempat (kini dikenali sebagai Sungai Terengganu Mati), salah seorang daripada mereka telah menjumpai sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada kawannya, taring apa? Salah seorang daripada mereka menjawab, 'Taring anu' kerana dia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, diantara mereka dalam rombongan ini dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ketempat mereka berkhemah, salah seorang mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di 'Taring anu'. Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di 'Taring anu'. Lama kelamaan dikenali Terengganu.
Terdapat dua kisah asal nama Terengganu yang melibatkan penduduk tempatan. Pertamanya kisah 'Taring anu' yang berlaku ditempat lain (bukan dihulu). Kisah ini menyatakan yang 'Taring anu' berasal dari sebatang taring sebesar gading gajah dijumpai disebuah pulau (kini dikenali sebagai Pulau Duyung) berhampiran kuala sungai. Ketua pulau tersebut menyembahkan kepada raja 'Taring anu tuanku'. Dengan itu kuala sungai disebut Kuala Taring Anu. Kemudiannya dikenali Kuala Terengganu.
Sebuah kitab lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Kuala Sungai Terengan ini adalah pertemuan Sungai Kerbat dan Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk disini. Mereka berulang-alik mengunakan kedua-dua sungai tersebut. Oleh itu jika mereka mudik dari Kuala Terengan, mereka akan menggunaka samada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada diantara mereka bertanya, mereka akan menjawab samada ke 'Terengan ni' atau 'Terengan nu'. Dengan itu muncullah TERENGGANU.
Wallahualam.


Dedikasi Untuk Terengganu Negeri Tanah Tumpah Darahku





Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...