Kali ini aku petik dari luahan sebuah 'Nota Kecil' dari seorang rakan pelukis kat group Facebook Grup Pelukis Terengganu.
Nota Kecil Untuk Citra Terengganu: Tema dan Syarat Pertandingan Melukis
Saya mendapat sebuah pemplet: “Pertandingan Melukis Citra Terengganu 2012”, anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu. Saya suka hati kerana SERUM* juga berkembang di Terengganu. Saya tahu juga Pertandingan Melukis Citra Terengganu ini sudah diadakan sejak sekian lama.
(SERUM: Seni Rupa Malaysia)
Tema yang dikemukakan untuk pertandingan tahun 2012 ini ialah “motif-motif songket & batik”, dan lebik spesifik lagi (kerana pertandingan ini dibahagi kepada dua kategori; 1. Spontan [?] dan, 2. Karya Siap).
‘Kategori Spontan’ difahamkan sebagai bertanding (melukis) di lokasi, kawasan Muzium Terengganu, mengikut suatu jangka masa yang ditetapkan. Kategori ini diberi tema “Citra Terengganu Bermotifkan Batik”. ‘Kategori Siap’ bermaksud karya-karya yang telah disiapkan lebih dahulu sebelum tarikh akhir penyerahan. Kategori ini diberi tema “Citra Terengganu Bermotifkan Songket”.
Saya membaca syarat pertandingan. Selain dari hal-hal rutin pentadbiran pertandingan yang lain, saya tertarik dengan tiga syarat yang bertandakan;
- (e) Karya mestilah dilukis di atas permukaan yang rata (bersifat 2-D) seperti kanvas, kertas, kain atau papan yang tidak melebihi 3 mm ketebalannya.
- (f) Segala karya bersifat 3-D seperti kolaj, asemblaj, arca, ukiran, gubahan, diorama, anyaman dan lain-lain teknik yang menyukarkan pihak Penganjur mempamerkan karya tersebut tidak dibenarkan. Karya yang bersifat instalasi dan karya yang dihasilkan melalui aplikasi komputer (computer generated) juga tidak dibenarkan.
- (g) Satu hasil karya tidak dibenarkan terdiri dari gabungan beberapa keping yang berasingan.
Banyak perkara yang boleh dibincangkan dari apa yang dinotakan. Kita dapat tahu yang Penganjur tidak mahu menyusahkan pihaknya mengendali werk-werk yang sukar untuk dipamer/disimpan. [Itu hak Penganjur]. Kita tahu juga pemilihan tema barangkali agak kurang ‘kukuh’ – hanya motif Batik dan Songket. Pelukis barangkali jadi tidak ‘tergalak’ untuk meneroka soal-soal kemasyarakatan atau kemanusiaan misalnya, kecuali ‘gubahan motif’, ‘ragam-hias’ dan ‘corak’ sahaja. Fenomena yang disebut tidak salah jika ditanggap yang kreativiti pelukis seperti disekat, atau didorong untuk membuat sesuatu yang agak superfisial, kurang bermakna.
Nota ini sama sekali tidak bertujuan untuk memperlecehkan usaha pihak Penganjur. Ucapan syabas patut diberi sebenarnya, kerana usaha Citra Terengganu yang berterusan, malah pertandingannya dibuka juga kepada seluruh warganegara Malaysia, tidak terhad kepada warga asal Terengganu sahaja. Namun, perkara ‘kualititatif’ seumpama yang ditimbulkan harus diambil perhatian untuk kelestarian budaya juga daya pengurusannya. Majulah SERUM.
28 Jun 2012
Tsabri IbrahimPendapat Peribadi Kizz Kazz
Ingin aku menambahkan disini atas dasar sebagai seorang pelukis yang baru-baru ini turut sama menyertai pertandingan melukis Citra Terengganu dalam kategori spontan (Motif Batik) dan juga pemahaman aku dari peringkat awal dan juga ucapan oleh pihak juri pada majlis penyampaian hadiah, contohnya bagi motif batik adanya sesuatu karya yang tak mencapai 'target' dari segi untuk menjanakan perkembangan 'rekaan' corak-corak batik samada batik canting atau batik terap.
Pelukis yang diumumkan sebagai pemenang gagal mengeskploitasikan rekaan corak-corak batik yang lebih kehadapan dan jelas pihak juri gagal memahami nilai seni batik. Bukan niat aku nak mempertikaikan kemampuan juri pertandingan namun sebagai seorang pelukis dan juga pengusaha batik yang berbelas tahun dalam bidang ini, aku rasa tahap pengadilan juri mungkin sedikit terkhilaf!
Untuk kategori siap (Motif Songket) kebanyakan pemenang hadiah utama lebih menepati seni tenunan songket dan tidak perlu dipertikaikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan