Fadhilat Syaaban
Selepas Rejab, bulan Syaaban adalah bulan kedua yang penuh keberkatan. Bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk kita meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W, ''Bulan Rejab adalah bulan Allah, bulan Syaaban adalah bulanku dan bulan Ramadhan bulan umatku''. Di antara amal ibadah yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
Memperbanyakkan puasa sunat
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada disebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
Memperbanyakkan doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W
Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." - Petikan dari kitab Zubdatul Wa'izhin
Bertaubat
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Peristiwa Penting Di Bulan Syaaban:
1. Malam Nisfu Syaaban
Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad S.A.W bersabda maksudnya: "Telah datang Jibril as pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata, Ya Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit!". Kata saya (Nabi Muhammad S.A.W): "Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab: "Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu."
Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca: "Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha." - Petikan dari kitab Zubdatul Wa'izhin
2. Penukaran Arah Kiblat
Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah S.A.W dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontroversi pada waktu itu.
Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah S.W.T kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.
Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah S.A.W dan Rasulullah S.A.W menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah S.W.T.
Allah S.W.T Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah S.W.T telah mewahyukan agar Rasulullah S.A.W mengadap ke Baitullah Kaabah.
Sebahagian ulama sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat.
Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya'. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.
3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi')
Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah S.A.W dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah S.A.W oleh seorang sahabat dari puak badwi.
Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah S.A.W keluar dari Madinah.
Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.
Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq.
Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.
Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.
Kemudian Rasulullah S.A.W pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah S.A.W mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah. - Juwairiyah meninggal dunia pada tahun 56H.
Tindakan Rasulullah S.A.W ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq.
Marilah kita sama-sama mengimarahkan bulan Syaaban, bulan yang begitu besar fadhilatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan