Tolong Klik Iklan Ni

Isnin, 5 September 2016

Ulasan Seni Cat Air "Berehat"

Kelebihan perahu kecil di latar depan dan bot besar di latar tengah membawa jurang kehidupan. Relung kehidupan diusik oleh pelukis untuk mengimbas kembali rakaman kehidupan nelayan.

Catan ini memperlihatkan keupayaan pelukis menimbulkan kesan metafora dengan member penekanan kepada objek visual. Imej visual sebagai bahasa visual membawa perlambangan tertentu. Perahu kecil, bot besar, pemancang bersilang, bot besar senget tersadai, ruang langit yang dominan dalam bingkai vertikal, perkampungan yang sayup berkabus dan bendera dua warna untuk merangsang audien berfikir bukan 'berehat'.

Soalan kenapa dan mengapa bermain dalam pemikiran audien. Umpamanya kenapakah hanya sebuah perahu kecil diletakkan pada latar depan berbanding bot-bot besar? Kenapakah sebuah bot besar disengetkan seolah terdampar? Kenapakah keluasan ruang langit itu dilebihkan vertikalnya? Kenapakah dua bendera berbeza warna menghala ke perkampungan nelayan?

Secara berani, pelukis mengundang kisah yang kita tahu. Tetapi apa-apa yang kita tahu itu berbeza pandangan. Sukar mencari faktor yang sama dalam semua karya kerana itu kesempatan menatap lukisan 'Berehat' oleh pelukis hebat Kazz Kadri bukan untuk melihat sudut landskapnya yang lazim kita lihat. Sebaliknya yang direnung dan diamati oleh mata hati dan mata fikir ialah kandungan makna yang tersirat di sebalik landskap tersebut. Syabas dan tahniah.

Seperkara lagi yang dapat diamati ialah kebijaksanaan pelukis mengolah perspektif, ruang komposisi dan kesan kedalaman. Titik kesesuaian komposisi membawa jarak antara mata dengan objek utama. Perspektif dan kesan kedalaman kehadirannya dikesani dalam ruang atmosphera antara latar depan dengan latar belakang. Antara ruang atmosphera  langit dengan bumi menawarkan  suhu warna yang dimenarik.

Pelukis merancang sudut yang betul sama ada di tengah, di tepi atau jauh ke garisan  horizontal hingga kadar kekuatan warna itu boleh mengubah suasana (mood) landskap.

Sebahagian  besar ruang dalam karya ini (terutama langit) diolah  melalui teknik basah atas basah. Hingga kekuatan kecairannya terjadi secara spontan membawa kesan antara ungu dan biru bersatu hati.

Merujuk "The Artist's Problem Solver suntingan oleh Sally Bulgin (2002) antara ungu dengan biru adalah suatu kesukaran untuk menyebatikannya, jika pelukis gagal mewarnakan langit di tempat lokasi maka lebih baik digantikan dengan melihat fotografi. Kesan kesukaran tersebut dapat dialami oleh pelukis sendiri apabila terjadinya :
-  Warna yang pecah dan terpisah jauh kadar ton antara dua warna.
-  Ilusi cahaya gagal ditonjolkan.
-  Kekuatan ton dua warna itu gagal dilihat dari sudut kelembutannya meresap ke dalam antara satu
   dengan lain.
-  Kesesuaian jenis berus, jenis kertas, kadar kandungan air, tekanan dan kelajuan menyapu
   warna.

Begitulah berhati-hatinya pelukis catan air berdepan dengan kesukaran mewarnakan langit. Biru dan ungu secara halus dan lembut bersebati antara imej kampung nelayan yang sayup berkabus. Terkesan warna lembab basah itu menyerlah pada langit putih dan beberapa kesebatian di penjuru atas dan kiri.

Dalam kualiti panas di bawah dan sejuk di atas, pelukis memainkan mood audien untuk memerhati dan berfikir. Dari lukisan ini dapat dikesani pelukis melakukan kajian dan menuangkan pengalamannya melalui :
-  suatu penemuan mencari kualiti suhu warna panas dan sejuk antara warna langit dan tanah.
-  menekankan kekuatan cahaya yang dari ruang langit.
-  memeberi fokus pada pekadaran objek.

Lalu terjadi perbezaan kelainan yang menarik dan unik hingga membawa perbezaan yang biasa dan luar biasa. Dengan ini pelukis menzahirkan kepelbagaian yang mengundang minat khalayak untuk memerhati dan berfikir.

Ulasan Seni oleh: Tuan Mohamed Nor Bin Othman

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...