Sepang - Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA) gempar seketika petang semalam
selepas muncul seorang lelaki yang mendakwa sebagai Raja
Bomoh Sedunia Nujum VIP yang kononnya mampu membuat
ramalan berhubung keadaan pesawat MH370 yang dilaporkan
hilang sejak Sabtu lalu.
Bomoh terbabit, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin, 80, yang
berpengalaman lebih 50 tahun mendakwa berdasarkan
upacara yang dilakukan selama 30 minit itu, beliau mendapat
alamat bahawa kesemua penumpang pesawat terbabit
dipercayai masih berada dalam keadaan selamat di satu
lokasi tertentu terletak antara Laut China Selatan, Filipina dan
sebuah negara asing yang tidak dapat dipastikan.
"Saya nampak pesawat itu masih tergantung di ruang udara,
di tengah -tengah ketiga-tiga lokasi terbabit.
"Saya tak dapat jelaskan secara terperinci soal keselamatan
mereka tetapi percaya pesawat itu mungkin berada dalam dua
keadaan sama ada diculik oleh pihak tertentu atau
disembunyikan di alam ghaib", katanya semalam.
Upacara ritual itu menggunakan peralatan khas iaitu teropong
buluh serta bubu mata pancing sebagai simbolik untuk
memperoleh alamat terkini berhubung keadaan pesawat
terbabit.
Ibrahim berkata, bubu mata pancing terbabit sebagai simbolik
penjara di mana pesawat itu dipercayai berada dalam
cengkaman pihak tertentu atau ditawan di alam bunian.
"Kita gunakan teropong sebagai simbolik meminta anasir-
anasir terbabit untuk membebaskan pesawat terbabit secepat
mungkin.
"Upacara yang kita buat turut menggunakan ayat-ayat suci al-
Quran iaitu surah Nabi Yunus dan surah Yassin,"katanya.
Dalam upacara tersebut, Ibrahim turut mempelawa beberapa
individu daripada pelbagai bangsa termasuk seorang wakil
media untuk membuat ritual pembebasan dengan meletakkan
bubu mata pancing di atas kepala mereka.
Menurut bomoh yang mendakwa pernah menampar buaya
tembaga sehingga mati itu, selain upacara terbabit, seramai
100,000 ahli Persatuan Silat Gayung Ghaib dan Selendang
Merah turut melakukan solat hajat serta berdoa semoga
pesawat yang hilang ditemui dalam minggu ini.
Katanya, pihaknya sudah melakukan perkara yang sepatutnya
dilakukan dan selebihnya terserah kepada Allah SWT.
Beliau berkata, pihaknya mendapat jemputan daripada
seseorang yang 'penting' untuk melakukan upacara tersebut
semalam.
Ibrahim sebelum ini mendakwa pernah terlibat dalam
membuat ramalan untuk kes antaranya berkaitan kes tragedi
Highland Tower serta membatalkan ilmu hitam Mona Fendy
agar hakim dapat menjalankan tugas di Mahkamah Temerloh,
Pahang.
Sumber: Akhbar tempatan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan