Tolong Klik Iklan Ni

Rabu, 12 Mac 2014

Kenyataan JAKIM Berkenaan Bomoh MH370

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN PENGGUNAAN KHIDMAT BOMOH DAN PERKARA
YANG BERTENTANGAN SYARAK DALAM PENCARIAN MH370

Terlebih dahulu marilah sama-sama kita menginsafi bahawa
sesungguhnya kekuasaan ALLAH meliputi semua ciptaanNya.
Apabila Allah menghendaki sesuatu, maka Dia hanya
memerintahkannya sahaja, begitulah hebatnya kekuasaan
ALLAH SWT. Sebagai manusia yang diciptakan olehNya, Dia
menguji kita dengan pelbagai ujian demi untuk kesempurnaan
manusia itu sendiri. Allah tidak akan menguji manusia di luar
kemampuannya. DIA menguji kita dengan pelbagai dugaan
dalam taraf kemampuan manusia dan setelah disediakan
dengan segala alat kelengkapan pada diri manusia itu sendiri.

JAKIM menyelar usaha pihak-pihak yang mendapatkan khidmat
bomoh dalam usaha pencarian pesawat MH370 yang secara
jelas adalah bertentangan dengan Islam. Hukum mengamalkan
pengubatan alternatif atau kaedah perbomohan adalah harus di
dalam Islam namun mestilah tidak bertentangan dengan syarak.
Jakim telah terlebih dahulu mengeluarkan Garis Panduan
Perbomohan Menurut Islam untuk diteliti dan difahami oleh
masyarakat dan ia boleh diakses melalui laman web Jakim di
www.islam.gov.my. Walaupun kita amat sedih dengan ujian
yang sedang menimpa kita. Tatkala pelbagai usaha yang telah
kita lakukan oleh pihak berkuasa dan dengan pelbagai jenis
teknologi dan aset sama ada dari negara kita dan dari negara-
negara luar yang sudi menghulurkan tangan, kita masih
menemui jalan buntu tanpa sebarang petunjuk dalam tempoh 3
hari ini. Namun kita tidak boleh berputus asa dan wajib terus
memohon pertolongan Allah swt.

Dalam satu Mesyuarat panel Kajian Akidah Jakim pada 22
hingga 23 November 2004 telah memutuskan bahawa rawatan
perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah
Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta
penipuan. Jika dilihat dari sudut alat-alat yang digunakan
beliau pula menggambarkan bahawa bahawa raja bomoh ini
menggunakan unsur khurafat dan tahyul yang ditolak dalam
Islam. Panel menjelaskan bahawa Islam adalah saintifik dan
menolak segala perbuatan tahyul dan khurafat.

Sehubungan dengan itu, saya mengingatkan semua msyarakat
khasnya umat Islam agar tidak terpengaruh dan/atau
mengamalkan upcara perbomohan yang jelas bertentangan
dengan Islam. Ia bukan sahaja satu usaha yang sia-sia malah
boleh mengundang kemurkaan Allah swt.
Umat islam harus menyakini bahawa ALLAH swt adalah sebaik-
baik tempat bergantung dan bertawakkal. Setelah segala usaha
pencarian dengan upaya manusia melalui ilmu sains, kepakaran
dan teknologi sedang giat dijalankan maka kita sebagai hamba
Allah harus terus berdoa bermohon kepada Allah yang maha
Kuasa. Saya yakin kita akan berjaya temui petunjuk terhadap
misteri kehilangan pesawat ini atas izinNya jua.

Sekian, terima kasih.

BERKHIDMAT UNTUK AGAMA DAN NEGARA
‘Saya Yang Menurut Perintah’
DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
12 Mac 2014

Sumber: Jakim

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...