Pengeluar kereta nasional itu dalam kenyataannya berkata, kedua-dua model berkenaan akan boleh didapati untuk pendaftaran pada minggu kedua Januari ini. Mengulas perkembangan itu Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata enjin CFE itu boleh didapati pada Exora Bold Premium baru dan model Exora Prime yang mempunyai transmisi berubah berterusan (CVT) yang memberi kecekapan pengguna bahan api, sekali gus lebih Menjimatkan.
“Didorong dengan enjin yang lebih cekap 1.6 liter, pelanggan akan menikmati prestasi pemacuan yang berkuasa yang setanding dengan enjin dua liter, dengan penggunaan bahan api yang lebih rendah,” katanya. Harga di atas jalan Exora Bold 1.6 Premium CVT adalah RM79,998, Exora Bold 1.6 Executive MT (RM70,998) dan AT (RM74,998), Exora Prime 1.6 Premium (RM88,998) manakala Exora 1.6 Standard MT (RM59,998).
PROTON yakin jualan bulanan kenderaan Exora akan mencecah 2,000 unit sebulan berbanding purata 1,800 unit ketika ini didorong pengenalan dua variasi baru itu. Sejak model Exora dilancarkan pada April 2009, sejumlah 65,049 unit model itu didaftarkan dengan pengeluar kereta nasional itu menerima 82,854 tempahan.
Tahun lalu, Exora adalah satu-satunya MPV yang disenaraikan dalam 10 kenderaan terkenal di Thailand oleh surat khabar Bahasa Inggeris terkenal di Bangkok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan